Monday, 5 April 2010

Keluarga Singa

Kisah sebuah keluarga,
Yang terletak di ceruk sebuah desa,
Yang mengalir mawaddah dan rahmah di dalamnya,
Ke setiap jiwa ahli keluarga,
Keluarga Singa.


Kisah si ayah singa bermula,
Subuh hari kerjanya mengejut anak-anaknya,
Anak-anak singa yang pintar,
Anak-anak singa yang soleh,
Anak-anak singa yang hanya ditemui di subuh hari,
Seruan AsSolatu Khairum MinanNaum penyegar mata,
Mata yang kantuk semalaman menghilang letih kelmarin.

Bila Ayah Singa di rumah,
Si ayah gemar bercerita,
Mengenai kisah-kisah Singa yang Hebat,
Supaya anak-anaknya juga mewarisi peribadi sehebat Singa-Singa yang hebat.

Bila si ayah akan keluar menunai janji,
Si ayah mengusap kucup dahi anak-anaknya,
Bagai itu kali terakhir berjumpa,
Sebelum keluar mencari cinta abadi.

Si ayah berpesan pada anak singa yang tua,
"Setiap kita adalah pemimpin, dan kita akan dipersoal akan kepimpinan kita"
Kamu yang tua,
Pimpinlah adik-adikmu, jagalah ibumu tika ayah tiada.
Lantas tangan si ayah digenggam erat,
Tanda sedia menerima amanah.

Si ayah keluar rumah diiringi doa si ibu singa,
Senyum si isteri menjadi vitamin tambahan,
Agar teguh tabah dan thabat,
Dalam mencari dan menyemai cinta abadi,
Senyuman yang akan dirindui,
Yang bakal mewarnai saat-saat kepulangannya nanti,
Yang entah bila.


Kisah Ibu Singa menyusur,
Di teratak kasih,
Diajar anak-anaknya mengenal kalimah-kalimah Tuhan,
Dididik dengan penuh kesabaran pabila anak-anak singa bercakaran,
Diasuh dengan tauladan Khadijah,
Sangat menjaga jiwa anak-anak singa
dari ditawan jahiliyyah dan nafsu ammarah,
Bengis terhadap Syaitan yang cuba mengganggu,
Agar lahir anak-anak singa yang hebat,
Sepertimana impian Ayah Singa.

Ibu Singa masih teringat,
Dan akan selalu mengingat,
Janji tika cinta diikat,
Akan bersedia untuk ditinggalkan,
Akan bersabar dengan kekurangan,
Akan berusaha menjadi Ibu Singa yang terbaik buat anak-anak Ayah Singa,
Akan sentiasa mendoakan kebaikan Ayah Singa,
Akan sentiasa setia..

Bila Singa Bongsu bertanya,
"Di mana Abi?"
Bergetar jiwanya mencari kata,
Yang boleh melerai rindu si bongsu,
"Tidurlah sayang, Abi mu ada subuh nanti"
Sedang dia sendiri tak pasti, apakah si suami akan pulang kembali,
Untuk menatap senyuman manisnya lagi.

Tauladan Ayah Singa meresap ke jiwa Anak Singa,
Segala amanah dijaga dan dilaksanakan,
Adik-adik dijaga dengan penuh hikmah,
Yang bercakaran dileraikan,
Yang menangis dipujuk-pujuk,
Yang gembira dikongsi bersama.

Pesan Ayah Singa yang takkan dilupa,
"Amanah di dunia ini terlalu besar, jika amanah kecil di rumah tak mampu dipikul, bagaimana kamu mahu pikul amanah di dunia?"
Cabaran Ayah Singa disahut,
Jika ayah tiada di rumah,
Anak Singa yang Tua,
Mengganti Si Ayah,
membacakan Kisah-Kisah Singa yang hebat.

Anak-Anak Singa sayangkan abangnya,
Kagum dengan teladannya,
Lemah-lembut tetapi tegas seperti Rasulullah,
Kuat seperti Rasulullah,
Penyayang seperti Rasulullah,
Hebat seperti Singa yang Hebat,
Seperti yang dikisahkan abi,
Selepas Solat Subuh..

Di pagi Subuh itu,
Si ayah mengejutkan anak-anak singa,
"Telah berlalu waktu tidur, anakku..."
Mendengar suara itu,
Bingkas anak-anak singa bangun menyambut kepulangan
Abinya yang sungguh dirindui...
Abi yang gemar bercerita kisah-kisah Singa yang Hebat..

Itulah Kisah Keluarga Singa.
Impian yang disemai semenjak hari pertama disatukan.
Penyatuan dua jiwa atas jalan yang berliku,
Yang berkobar membangunkan sebuah keluarga Singa yang Hebat...

No comments:

Post a Comment