Saya percaya ramai yang bersetuju dengan saya jika saya katakan tahun ini adalah tahun yang rancak dengan agenda "walimah" teman-teman dan sanak saudara. Lihat saja jemputan-jemputan yang tiba di kotak pos atau di facebook, bagai terasa hangat sepanjang tahun dengan berita sensasi teman-teman yang mengakhiri zaman bujang memulakan zaman berkeluarga.
Berita-berita gembira ini disambut dengan pelbagai reaksi bagi setiap individu. Ada yang mengucapkan tahniah dan menitipkan doa. Ada yang mengusik nakal dan mempamer riak terkejut. Namun tak dinafikan, ada di antara yang bermonolog di dalam hati, tertanya-tanya bila gilirannya akan tiba. lagi berdebar mereka yang belum punyai calon hidup.
Inilah fasa menanti janji Ilahi.
Janji Ilahi yang menciptakan manusia berpasang-pasangan, jodoh dan rezekinya sejak azali lagi. Bagi yang sudah menginjak ke usia menikah (biasanya 20-an ke atas), ada hati yang sudah berkira-kira siapa dan bagaimana calon yang berkenan di hati.
Fasa ini adalah fasa yang sungguh mencabar. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di dalam gerakan dakwah atau lebih tepat sebagai daie atau pembawa agama. Lebih mencabar apabila gerak kerja yang dilaksanakan melibatkan lelaki dan perempuan.
Apabila syaitan mengetahui titik lemah pada diri seseorang daie, mereka akan menyerang dari arah itu supaya para daie yang bekerja menegakkan agama Allah boleh dilalaikan walau sebentar. Sama-sama kita beristighfar kepada Allah agar Allah tetap memelihara kita dalam jagaanNya.
Perasaan yang timbul itu adalah perasaan semula jadi yang Allah campakkan ke dalam hati kita.
Cuma persoalannya, sejauh mana kita memelihara hati kita agar tetap rapat bersangka baik dengan Allah. Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menagih janji Ilahi tapi tanda masih belum terlihat. Suruh menjadi lebih Soleh, sudah diusahakan. Suruh beristikharah, sudah setiap malam bangun di tikar sejadah. Suruh berbincang dengan yang ahli (dalam usaha mencari calon), tiada jawapan.
Ada yang berputus asa. Meninggalkan jalan dakwah kerana tidak ketemui calon hidup di situ. Astaghfirullah.. Janganlah kita menjadi golongan seperti itu. Muhasabah semula apa niat mu ketika meletakkan kakimu di jalan yang mulia ini. Janganlah kerana mencari jodoh semata-mata.. Ikhlaskan hati demi redha dan syurga Ilahi, luruskan akal dan niat.
Yang harus dipuji adalah mereka yang tetap bersangka baik dengan Allah. Menanti dalam ketaatan yang sebenar. Menjaga lintasan hati dan perasaan dengan kesabaran yang sebenar. Menjaga mata, suara dan telinga dengan istiqamah yang sebenar. Mujahadah ke atas dirinya dengan kekuatan luar biasa.
Dan semua itu tidak akan lahir tanpa deraian air mata keinsafan dan keampunan di sepertiga malam. Memohon agar Allah memelihara diri dan mempermudahkan urusan. Memohon dijauhkan dari syaitan. Memohon agar jika tepat masanya, tepat orangnya, baik untuk agama, dakwah, dunia dan akhirat, permudahkan urusannya. Juga memohon jika dia bukan orangnya, buruk untuk agama, dakwah, dunia dan akhirat... jauhkanlah dari tersisa sebarang lintasan-lintasan hati yang menipu.. Memohon agar Allah tetap meletakkan kaki ini di atas jalan dakwah yang mulia.
Dan semua itu juga (bersangka baik dengan Allah) tidak akan lahir tanpa melazimi puasa-puasa sunat sebagai membenteng diri dari desakan2 hawa yang menipu. Menjaga pandangan mata dari melihat apa-apa yang boleh membangkitkan keinginan yang menipu. Menjaga masa dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Mujahadah melawan nafsu!
lalu, manusia jenis apa yang akan terhasil? jadilah kita manusia yang suci hatinya, bersih akalnya, benar niatnya, lapang jiwanya malah kuat luar biasa! Gerak kerja dakwah semakin laju, tenaga dioptimumkan untuk memperbaiki diri dan ummah dan berkembanglah dakwah ke sekelilingnya. Semoga keberkatan Allah menyusul...
Seandainya tiba janji yang dinanti, alangkah bersyukurnya hati itu kerana di sepanjang penantiannya, dia benar-benar menjaga janjinya kepada Allah untuk menjaga dan menyampaikan dakwah ini..
Selamat menanti janji Ilahi!
No comments:
Post a Comment