Thursday, 22 December 2011

Kerjaya dan Kejar Kaya?

Bismillah...



Berakhirnya zaman kampus membuka lembaran baru di alam kerjaya. Bagi sesetengah mahasiswa yang sudah berkecimpung di alam kerjaya (berniaga sendiri, menjadi agen unit trust dan sebagainya) semenjak di kampus mungkin hilang sedikit debaran kerana jiwa yang alah bisa dengan kerenah bekerja dengan manusia.

Tapi, majoritinya, termasuklah saya, mungkin ada sedikit kegusaran dan debaran melalui fasa baru dalam hidup. Kalau sebelum ni, tinggal di kolej kediaman yang serba lengkap dengan bayaran serendah RM 210 satu semester, mungkin agak membebankan bila memikir kini harus menghulur wang poket sendiri membayar sewa rumah RM 200 sebulan. Itu belum memikirkan bila harus menggunakan kereta untuk ke tempat kerja. Mana wang harus dikorek? Takkan nak minta mak ayah lagi, segan rasanya.

Maka, apa yang dipertimbangkan adalah mencari kerja yang baik, yang juga mungkin, bergaji cukup untuk menampung hidup seorang manusia, sedikit lebihan untuk dihulur buat keluarga dan agama. Soal pengurusan wang, panjang nak diceritakan. Yang saya ingin kongsikan adalah, apa matlamat kita bekerja? apakah kita telah meletakkan niat yang betul untuk bekerja?

Jika belum bekerjaya, bolehlah berimpian pekerjaan yang memberi manfaat buat diri, keluarga, agama dan negara. Mahu bergaji besar, mahu berkereta mewah, mahu rumah yang selesa. Tapi, bila berada di persimpangan, kerja yang dipohon tak memberi sebarang khabar berita sedangkan hari berganti hari, minggu bertukar ganti, barulah tahu tingginya langit dan rendahnya bumi. Realiti yang tak seindah mimpi. Sedang rakan lain sudah memulakan alam pekerjaan, kita masih menangguk di rumah bagai menunggu bulan jatuh ke riba.

Kalau ada pun yang memanggil temuduga, gaji yang dijanjikan tak seberapa, seakan tidak berbaloi dengan usaha berpenat lelah, menahan kantuk, wang dan masa yang habis menyiapkan bebanan assignment dan tugasan kuliah 3-4 tahun lamanya.

Percayakah jika saya kata, di sinilah ujian yang sebenar bermula?

Ujian 1 : Di mana Allah di hatimu?
Semua yang beriman Allah itu ArRazzaq, Maha Memberi Rezeki, akan bersabar (baca: terus berusaha) untuk terus mencari kerja. Ya, apa sahaja pekerjaan, asalkan halal! Seorang mahasiswa yang cemerlang, bukan diukur pada pointer atau markah keseluruhan, tapi pada bijaknya dia meletakkan kepercayaan Allah membantu mereka yang berusaha.

Ujian 2 : Apakah matlamat sebenar aku bekerja?
Meletakkan matlamat yang tepat di awal perancangan hidup akan memandu kita ke arah yang tepat. Jika matlamat itu adalah untuk menyara hidup sehari-harian, cukup untuk makan dan pakaian, apa sahaja pekerjaan yang dicari harus mengikut neraca gaji asalkan yang cukup untuk menampung kehidupan sehari-harian.

Tapi, jika matlamat bekerja adalah sebagai jalan mendekatkan diri dengan Allah, seperti, apabila mempunyai pekerjaan yang baik, namun masih mampu menghulur sedikit infaq ke jalan Allah, menggembirakan ibu ayah dan keluarga, cukup untuk menampung perbelanjaan yang sederhana, sedikit untuk simpanan masa depan, Insya-Allah, kalau tidak berpangkat besar pun, kita akan merasa cukup, asalkan kita berjaya mendekatkan diri kita kepada Allah.

Ujian 3 : Apakah hanya cukup sekadarnya?
Rasulullah s.a.w sentiasa memotivasi para sahabat dalam berlumba-lumba membuat kebaikan seiring dengan saranan Allah di dalam Al-Qur'an, "Fastabiqul Khairaat.." Selagi pekerjaan itu membawa kebaikan, apakah salah kita berlumba-lumba meningkatkan prestasi diri menjadi yang terbaik di medan lapangan kerjaya kita? Apakah salah kita bercita-cita menjadi manusia paling kaya di dunia?

Biarlah kita bermula dari titik yang paling bawah sekali, asalkan bukan di bawah selama-lamanya. Motivasikan diri untuk memahami kelemahan dan kekuatan diri, menggunakan kekuatan untuk merebut peluang, seperti melakukan kerja sampingan atau melabur di dalam pasaran kewangan (patuh syarak) jika mampu. Bahkan merawat kelemahan menjauhi ancaman, contohnya menghadiri latihan dan kursus-kursus meningkatkan skil dan kemahiran.

Ujian 4 : Kerjaya dan Kejar Kaya?
Salahkah menjadi si kaya seperti Abdurrahman bin Auf daripada menjadi si tamak Tsa'labah? Kedua-duanya dikurniakan Allah kekayaan harta, namun, satu menjadi teladan manusia yang pemurah dan diganda-gandakan kekayaannya kerana sikap tidak mementingkan diri sendiri. Sedangkan satu lagi menjadi teladan manusia yang tertipu dengan kekayaan hartanya sendiri.

Kita memilih ke mana jalan hidup ini dihalakan, kita memilih cara hidup bagaimana yang kita inginkan, kita menentukan pilihan demi pilihan dalam hidup kita, tapi, jangan lupa Allah juga merencanakan. Dan Dialah sebaik-baik perencana.

Buat semua yang bakal melalui alam kerjaya, ayuh mengejar kekayaan jiwa dan harta. Bukannya mengejar kekayaan harta, tapi jiwa papa kedana. =D

No comments:

Post a Comment