Sunday, 12 February 2012

Saat Hidayah Menyapa


Sepasang mata memerhatikan gelagat seorang gadis yang ralit dengan buku di atas meja. Sesekali tangannya mencatat sesuatu. Sesekali jarinya memusing pen membuat heli spin. Gerak hati selama ini harus dirungkai. Siapakah gerangan yang sering mengusik pandangan mata.


“Assalamualaikum, akak, boleh saya duduk sini?”

“Waalaikumussalam. Boleh, silakan,” Kerusi biru di hadapan Nuhaa ditarik perlahan seorang gadis bertudung litup berbaju biru.

“Maaf ganggu kak, tapi saya ada sesuatu nak bertanya pada akak,”

“Ya, apa dia tu?”  Sepenuh tumpuan Nuhaa diberikan pada wajah mulus di hadapannya.

“Saya selalu nampak akak study kat sini. Akak baca buku apa tu?”

“Oh, ni Tafsir Fi Zilalil Qur’an” Nuhaa memberi ruang gadis itu berkenalan dengan buku setebal satu inci lebih yang menjadi buku rujukan wajib sejak kebelakangan ini. Sejak dia mendapat tugasan mengupas beberapa potongan ayat daripada Surah Al-Anfal.

“Wah, tebalnya buku ni. Akak baca semua sekali ke?” Jari runcingnya membelek-belek buku tebal itu.

“Hehe.. kalau boleh, memang nak baca semua sekali. Ni baru satu jilid, ada banyak lagi jilid yang akak belum baca. Banyak ilmu yang akak dapat daripada tafsir ni. Penulisnya, Syeikh Sayyid Qutb memang seorang yang sangat istimewa. Bila fikirkan bagaimana tingginya ilmu beliau dalam proses menghasilkan tafsir ni, pasti dia lebih hebat daripada doktor-doktor PhD yang ada di dunia ni,”

“Hurm.. Macam tu ke? Lupa nak tanya, nama akak siapa?”

“Nuhaa. Adik nama apa?”

“Qistina. Panggil saya Qis. Akak ambil kursus apa?”

“Akak ambil Business Management,”

“Wah… rajinnya akak baca buku ni. Dahlah tebal. Tafsir ni ada kena mengena dengan Business Management ke?”

Nuhaa tersenyum.

“Qis nak tahu akak tengah baca pasal apa?”
“Menarik juga tu…

Minggu berikutnya, Nuhaa bertemu lagi dengan Qistina di tempat yang sama. Di bawah pohon rendang yang sama. Siapa sangka buku yang penuh hikmah itu membuah persahabatan yang didasari minat yang sama. Tafsir milik Nuhaa dipulangkan Qistina setelah beberapa minggu.

“Akak, saya tak sangka best juga buku ni. Saya nak cari juga lah buku ni,”

“Baguslah kalau macam tu. Nanti Qis boleh kongsi dengan akak apa yang Qis dapat,”

“Eh, apa pula, akak lah sepatutnya ajar saya,”

Nuhaa tersenyum bangga dengan Qistina yang peramah dan juga mencintai ilmu. Zaman sekarang bukan mudah nak menjumpai mahasiswa yang mencintai dan mendalami ilmu bukan kerana mengejar segulung ijazah semata-mata. Qistina ibarat permata yang perlu digilap agar boleh bermanfaat buat ummah ini.

“Qis, hujung minggu ni nak ikut akak ke kelas Tafaqquh fi Deen? Kita ni menuntut ilmu, bukan setakat membaca buku, kita kena belajar dari ustaz yang lebih faqih dalam bidang tafsir ni. Barulah kita mendapat kefahaman yang sebenar,”

“Betul ke kak? Saya boleh saja, kak”


Qistina hadir bersama empat rakan serumahnya untuk ke kelas Tafaqquh fi Deen yang diadakan setiap minggu oleh Ustaz Muhammad. Seperti yang dijangka, pengisian Ustaz Muhammad memang padat dan ringkas. Buku yang tebal terasa ringan. Mudah difahami apabila Ustaz Muhammad memberi contoh-contoh realiti umat masa kini.

Dalam perjalanan pulang dari kelas Tafaqquh fi Deen….

“Adik-adik, macam mana kelas tadi?”

“Alhamdulillah, kak. Bagus sangat. sekarang saya seperti ada semangat baru nak mendalami al-Qur’an. Tapi saya seganlah, pakaian saya tak macam pelajar lain kat dalam tu,”

“Ok, lain kali akak ingat nak ajak ke satu tempat yang best, nak ikut?”

“Pergi mana kak?”

“Pergi shopping!!”

Shopping?”


Nuhaa membawa Qistina dan rakan-rakannya ke kedai Mumtaz Apparel milik Mu’azah yang menjual busana muslimah dengan harga yang berpatutan.

Mumtaz Apparel. Dari luar seperti kedai-kedai biasa. Cuma sambutan yang mesra menarik perhatian Qistina. Kehadiran mereka dialu-alukan pekerja di situ yang memakai busana seperti Kak Nuhaa. Lengkap menutup aurat. Mereka bukan sahaja menjual busana muslimah, bahkan mereka sendiri mengaplikasikannya.

Subhanallah! Mereka sendiri menjadi model pakaian yang menutup aurat, tak perlu mannequin memperagakan pakaian. Lebih menggembirakan, mereka juga memberi nasihat bagaimana memilih pakaian yang menutup aurat.

Biasanya Mu’azah akan memberi potongan harga bagi pelanggan baru yang ingin merubah penampilan yang lebih baik mengikut syarak. Qistina dan rakan-rakannya rambang mata memilih T-Shirt Muslimah, tudung dan blouse labuh yang cantik-cantik.

Selesai membayar harga pakaian masing-masing, Nuhaa menghadiahkan Qistina dan rakan-rakannya buku kecil sebesar tapak tangan ‘Menjadi Lebih Baik : HIJAB’.

Qistina mula kagum dengan Kak Nuhaa yang murah hati dan sangat memahami perasaannya yang mahu berubah menjadi lebih baik. Jadi baik di pandangan Allah, bukan manusia semata-mata. Qistina merasakan Kak Nuhaa mempunyai X factor yang membuatkan dia senang untuk mendengar nasihat-nasihat Kak Nuhaa.

Kak Nuhaa tidak putus-putus berkongsi kata-kata hikmah dan nasihat di Facebook. Kak Nuhaa juga berkongsi link video yang bermanfaat apatah lagi program-program ilmiah anjuran PEMBINA buat mahasiswa sepertinya.

Pernah Kak Nuhaa mengajaknya ke program PEMBINA, di sana dia berkenalan dengan ramai kawan baru dari pelbagai IPT di seluruh negara. Qistina merasakan tidak cukup dengan hanya mengikuti ceramah-ceramah umum. Banyak perkara belum difahami dan pelbagai persoalan perlukan jawapan. Dakwah? Ijazah dan Risalah? Pernah Qistina mencari jawapan dari carian google. Walau gambaran sudah kelihatan, tetapi masih banyak perkara perlu dibincangkan.


Di pagi suatu Jumaat, Qistina menaip di wall Facebook Kak Nuhaa.

“Akak, saya rasa saya sangat jahil dalam banyak perkara, lagi banyak saya belajar tafsir, lagi banyak program yang saya pergi, saya rasa banyak benda yang saya ketinggalan.”

“Apa kata kumpulkan kawan-kawan dalam sepuluh orang, kita buat liqa’. ”

Ringkas tapi padat. Qistina memulakan gerakan mencari kawan-kawan dalam sepuluh orang seperti yang diminta Kak Nuhaa. Kebanyakannya memberi alasan sibuk. Pada mulanya Qistina seakan berputus asa, tapi apabila memikirkan Kak Nuhaa yang sedang bergelut dengan final year project dan tugasan sebagai ahli PEMBINA masih sudi meluangkan masa bersama mereka, Qistina tak mahu menghampakan Kak Nuhaa.

Bulatan gembira. Itu yang Qistina dan rakan-rakan gelar. Walaupun Qistina hanya berjaya mencari enam orang untuk menganggotai bulatan gembira itu, Kak Nuhaa tetap meluangkan masa bersama mereka. Di dalam bulatan gembira, Kak Nuhaa berbincang pelbagai isu berkenaan peranan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk menyampaikan Islam walau dengan apa cara sekali pun.

Pengajaran paling bermakna yang Qistina perolehi, ilmu itu bukan sekadar ditimba, diempang dan dikumpul. Tapi harus diamalkan dan disampaikan. Dan seseorang itu harus menjadi Muslim yang produktif untuk membentuk dan memimpin rakan-rakan mengamalkan Islam yang sebenar.

Begitu cepat masa berlalu. Sembilan bulan yang penuh makna. Siapa sangka dia banyak berubah dalam masa yang singkat itu. Inside outside. Berubah 360 darjah.



Di sini, hari ini, bagai terkenang saat pertama Qistina tertarik pada gelagat Kak Nuhaa di bawah pohon rendang ini. Walaupun Kak Nuhaa sudah tamat pengajian, tapi, bulatan gembira mereka tak pernah berhenti mengisi agenda setiap minggu. Qistina kini mempunyai hobi yang sama, duduk di bawah pohon rendang ini untuk menelaah bahan-bahan tarbiyyah. Buku kegemarannya di keluarkan dari beg Palazzo.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam,” seorang gadis berambut panjang dengan sedikit highlight berwarna merah pekat ala-ala gothic dipandang dengan bibir mengukir penuh senyuman.

“Saya selalu nampak awak lepak kat sini. Awak baca buku apa tu?”

“Buku favourite saya, Tafsir fi Zilal”

“Awak student Fakulti mana?”

“Kejuruteraan Mekanikal,”

Mechi… Tafsir.. boleh jalan ke?”

Tersenyum. Penuh makna tersirat. Teringat Kak Nuhaa.

“Awak nak tahu apa yang saya baca?”

No hal.”

Dan angin pun berhembus lembut menyapa dua insan di bawah pohon rendang itu.

No comments:

Post a Comment