Monday, 23 April 2012

Manfaatkan Harta yang lebih bernilai dari Emas!


Sepotong hadith sahih yang popular dan mudah dihafal:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ) [رواه البخاري]

"Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan manusia adalah kesihatan dan masa lapang."

Tidak dilupakan sebuah surah Al Qur'an iaitu surah Al 'Asr yang merakam sifat seorang Mukmin yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya pada kebenaran dan dengan kesabaran.

Imam Hassan Al Banna juga menggariskan dua daripada sepuluh ciri-ciri peribadi seorang Mukmin berkenaan masa iaitu حارس على وقته (sangat menjaga masanya) dan منظم في شوؤنه (sangat tersusun urusannya).

Itu tidak termasuk ungkapan-ungkapan dan kata-kata hikmah para ilmuwan Islam berkenaan kepentingan masa dan kerugian bagi mereka yang gagal menguruskannya.

Kita sendiri sebagai mahasiswa mungkin sudah lali mendengar pengisian dan pelbagai kursus yang menekan kepentingan menjaga masa dan teknik pegurusan masa. 

Bertepatan musim cuti pertengahan semester kebanyakan IPT di akhir bulan April ini, kebanyakan aktivis-aktivis Islami mengambil peluang pulang bercuti di kampung halaman meluangkan masa-masa berkualiti bersama keluarga tercinta. Jika di IPT, aktivis-aktivis ini tak menang tangan sibuk menguruskan pelbagai program membina jati diri di samping kesibukan seorang mahasiswa, sesekali dapat pulang mengubat kerinduan buat keluarga di kampung adalah suatu saat yang dinantikan.

Saya kagum dengan seorang aktivis PEMBINA yang bertanya saya "Tiada ke واجبات (tugasan) waktu cuti?". Dedikasinya pada tarbiah dan dakwah memang tak boleh disangkal lagi. Mungkin pertanyaannya itu meminta saya mencadangkan beberapa aktiviti yang boleh beliau lakukan ketika tiada kesibukan assignment dan presentation. Bahkan tidak kurang rungutan beberapa insan yang merasakan lemah setiap kali tiba waktu cuti. "Ana rasa futur je duduk rumah.... Banyak sangat godaan duniawi.... Ana rasa sangat tak productive..." Saya tak menafikan kebenaran kata-kata itu.

Tapi, Insya-Allah, berbekalkan ilmu dan tarbiah yang menggunung sepanjang dididik dengan AlQur'an dan Sunnah, juga berbekalkan semangat yang sama, saat-saat bersama keluarga ketika waktu cuti boleh dimanfaatkan dengan beberapa aktiviti, bahkan boleh dijadikan agenda menyampaikan dakwah kepada keluarga seperti yang dianjurkan di dalam AlQur'an (Asy-Syu'ara' : 214) malah agenda tarbiah dzatiyyah pada diri kita sendiri. 

Setiap aktiviti bersama keluarga kita terapkan sedikit nilai tarbawi walaupun cara penyampaian bukanlah formal seperti memberi tazkirah kepada rakan-rakan sekuliah. Setelah bersukan dan beriadah bersama adik-beradik, kita ceritakan secara santai kepentingan tubuh badan yang sihat dan kisah para sahabat Rasulullah yang gagah. Sambil memasak bersama ibu di dapur, kita dapatkan petua-petua untuk menyediakan makanan yang sihat dan berkhasiat sambil berborak mengetahui perkembangan semasa ahli keluarga. Sambil melayari internet, kongsikan isu semasa dan lakukan perbincangan bersama bapa untuk mendapatkan pandangan-pandangan dan mengetahui cara berfikir seorang insan yang berpengalaman. Ini adalah cadangan serba ringkas yang boleh dikembangkan mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi yang berpeluang menjejakkan kaki ke negara atau negeri lain, samada melancong atau berziarah, alangkah indahnya jika dapat memerhatikan keadaan umat Islam di situ. Imam Hassan Al Banna sering mengambil masa berjalan-jalan di sekitar Isma'iliah untuk memahami dan melihat keadaan umat di situ. Seolah-olah seorang doktor yang sedang menganalisa penyakit untuk dirawat.

Perkara penting yang mahu saya gariskan di sini adalah seorang aktivis tidak sepatutnya menjadikan waktu cuti di kampung halaman sebagai waktu "honey moon" atau waktu menganggur dari amal dakwah. Lebih menyedihkan masa lapang itu dijadikan modal untuk mengkhatamkan cerita-cerita di layar perak atau hiburan-hiburan yang tidak ilmiah. Na'uzubillah min zalik!

Marilah kita merebut masa terluang ini untuk kita menjana modal akal samada membaca bahan ilmiah tambahan atau menambah hafazan Al Qur'an yang tak mampu dijalankan ketika masa kuliah berjalan. Selain itu, di ketika inilah kita sempat bergaul dengan jiran tetangga dan kaum kerabat untuk mengeratkan silaturrahim. Setiap masa otak kita terus berjalan merencana agenda membangunkan ummah.

Nasihat ini saya tujukan buat bebola mata yang pertama membacanya dan buat anda para aktivis dakwah di kampus. Insya-Allah.. Pasti setiap kali cuti tiba, kita melonjak kegembiraan bukan kerana tibanya waktu untuk berehat sahaja, tapi tetap konsisten dalam menyampaikan dakwah. Insya-Allah.

Semoga setiap detik masa itu dilaburkan pada aset yang paling tinggi nilainya. Syurga.

Ukhtukum Fillah.

No comments:

Post a Comment