Pada mulanya saya anggap ia sms biasa yang diforward ke semua teman sekolah, yalah, baru habis sekolah dan belum masuk universiti. Kadang-kadang sms ringkas itu mengisi ruang di dalam kekosongan hati yang sangat merindukan tarbiah. Mungkin itu antara wasilah tarbiah Ilahi buat saya yang sering lupa dan leka.
"Aku impikan bumi ini dipenuhi pemuda seperti Abu 'Ubaidah al-Jarrah, Salim Maula Huzaifah, Muadz bin Jabal, agar dengan mereka semua dapat digunakan untuk menegakkan kalimah Allah!"
Dia berkongsi cita-cita As-Syahid Muhannad AtTahir,
"Jadilah orang yang hebat, kerana Islam itu agama yang hebat"
Mereka adalah insan-insan yang menunaikan cita-cita mereka dan mendapat tarbiah yang khusus, memahami dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Qur'an dan Sunnah, sehingga mereka menjadi seorang yang mampu dijadikan contoh yang baik. Subhanallah!
Ketika itu, saya mula merasa sesuatu yang ingin disampaikan beliau. Bercita-citalah untuk menjadi hebat! Contohi mereka yang bercita-cita dan benar terhadap cita-citanya! Bercitalah menuju Ilahi!
Realitinya, kita mudah bercita-cita, tapi apakah cita-cita kita itu membawa kepada usaha mengembalikan kegemilangan Islam? apakah cita-cita kita itu meliputi dunia dan akhirat? apakah cita-cita kita itu memberi kemuliaan di sisi Allah?
Mari kita koreksi sejauh mana kita bercita-cita dan merancang usaha mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi milik Allah dan melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah.
Bercita-cita itu mudah, melaksanakan cita-cita itu penuh cabaran yang berwarna warni. Dan AlQur'an sendiri mengajar kita untuk mempunyai visi di dalam hidup.
AlHasyr : 18
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
Seorang yang bercita-cita tinggi, mempunyai semangat dan daya tahan yang tinggi. Walau apa pun halangan yang perlu dilalui, dia melalui dengan tabah dan sabar.
AlHasyr 19-20
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.
Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).
Seorang yang jelas visinya, tahu tujuan kehidupan dan ke mana dia akan pergi mampu melihat apa yang dicita-citakannya dan bagaimana dia mampu mendapatkannya. Dan jika dia benar dengan cita-citanya, Allah akan membuka jalan buatnya.
Muhammad : 5-7
Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat)
Serta memasukkan mereka ke dalam Syurga yang telah dijanjikan dan diterangkan sifat-sifatnya kepada mereka.
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Bercita-citalah!
Bercita-citalah!
Bercita-citalah!
di dalam menuntut ilmu, bercita-citalah agar ilmu itu dapat:
- menyalurkan manfaat ilmu buat umat Islam
- meninggikan kalimah Allah dengan menyampaikan Ilmu
- memberi contoh teladan yang baik kepada rakan-rakan
di dalam perancangan hidup berkeluarga, bercita-citalah agar kita dapat:
- membina keluarga yang soleh dan musleh
- membina generasi harapan umat
- mendidik dan melatih anak-anak menjadi Hamlatul Qur'an.
- memiliki sumber kewangan yang stabil
dan setiap impian perlu didahulukan dengan usaha. Usahakan yang terbaik dan mohonlah bantuan dari Allah. Insya-Allah!
"jangan pernah meremehkan impian" -Novel Negeri 5 Menara
Allahu A'lam.
No comments:
Post a Comment