Wednesday, 2 May 2012

sudut yang terpencil

di bilik pesuruhjaya sumpah itu
manusia penuh berkerumun
aku terhendap-hendap melihat barisan manusia
semata mendapatkan pengesahan
di sekeping kertas
erat tersisip di celah sebuah planner kuning
kertas penting untuk kerjaya pertamaku
sebagai seorang penasihat pelaburan

di dalam bilik itu
aku melihat manusia
pelbagai ragam dan rupa
ada yang berbadan satu
ada yang berbadan dua
ada yang beruban berusia
ada yang belia remaja
dari yang kuning langsat ke hitam manis
dari yang berbahasa bangsa hingga ke bahasa negara
yang sama hanya riak muram terpancar di wajah masing-masing

aku bukan selalu ke sini
mahu koreksi juga apa niat mereka ke sini
semata mendapatkan pengesahan minima empat ringgit

ku mencuri pandang helaian kertas di tangan 
orang muda seagama sebangsa di sebelahku
"surat pajak"

terlintas di hati, Ya Allah kalau aku akan ke sini lagi untuk urusan pajak-memajak harta, biarlah ia bukan pajakan harta pusaka milik orang Islam turun temurun 

ku memerhati seorang anak 
juga seagama sebangsa
membantu seorang ibu tua 
payah bangun lagi terketar melangkah 
urusan pemindahan harta

terlintas di hati, Ya Allah kalau aku akan ke sini lagi, jangan biarkan aku menuntun tangan tua abah dan ummi untuk urusan pemindahan harta kerana aku yang kesempitan

pesuruhjaya sumpah itu
seorang lelaki beruban putih jelas di rambutnya
seorang seagama dan sebangsa
walau kebiasaan bukan seagama yang berada di posisinya

jelas kelihatan di dahi kerut seribu 
bukti usaha keras tugasan sehari-hari
bersama alunan ayat suci bersuara rendah menemani

tiba giliranku
aku maju ke meja
mengambil tempat di hadapan 
lelaki penuh pengalaman itu
ucapan salam didahulukan tanda hormat pada yang tua
dia tersenyum setelah sekian lama berkerut dahi.

"baru join ke?"
"ha'a. Haji dah join ke?"
"Ada melabur sikit."

pada telahanku
dia ini berpengalaman.
dia ini luas pengetahuan.
dia ini contoh Muslim Melayu yang baik.
dia ada visi dan misi.

kerana aku belum mengetahui kebenaran telahan itu
aku menghulur planner kuning itu
sebagai cenderamata
mahu dia mengenali
aspirasi dakwah ini

dan planner kuning itu tertulis
"Ikatan Muslimin Malaysia
Membina Generasi Harapan"

dan ternyata aku tak pernah berniat 
untuk membawa planner kuning itu 
untuk diberi pada sesiapa
saat pertama aku melangkah keluar rumah

sampaikanlah dakwahmu pada siapa juga
walau bagaimanapun caranya.

No comments:

Post a Comment